Sushant Singh Rajput
Sushant Singh Rajput |
Pada 14 Jun 2020, dunia hiburan digemparkan dengan kematian seorang bintang Bollywood yang namanya sedang meningkat naik. Beliau dilaporkan telah membunuh diri di dalam bilik tidur rumahnya di Mumbai. Walau bagaimanapun pelbagai spekulasi yang ditimbulkan mengenai kematian beliau antaranya disebabkan oleh depressi dan nepotisme. Para peminatnya termasuk saya menolak keras bahawa beliau membunuh diri, bahkan merasakan beliau telah dibunuh dengan kejam.
Memulakan karier sebagai seorang penari terlatih di Shiamak Davar Dance Academy. Beliau telah menyertai beberapa pertandingan menari dan menjadi penari latar bagi beberapa filem dan acara besar Bollywood seperti IIFA , Beliau juga telah menyertai sebuah kumpulan teater iaitu kumpulan Nadira Babbar Ekjute dan beliau juga telah menyertai kelas lakonan yang dikelola oleh Mr.Barry John. Bakatnya telah menarik perhatian Ekta Kapoor, seorang penerbit televisyen , penerbit filem yang juga seorang pengarah filem di Bollywood.
Bertitik tolak dari situ, pada tahun 2008 beliau telah diberikan watak sampingan bernama Preet Juneja untuk sebuah drama bertajuk Kis Desh Mein Hai Meraa Dil .Melihat potensi beliau dalam bidang lakonan, Ekta menjadikan mendiang sebagai Manav Deshmukh, watak utama dalam sebuah drama bersiri bertajuk Pavitra Rishta ( Hubungan yang Suci). Drama ini telah berjaya melonjakkan nama mendiang dalam bidang hiburan di India. Secara peribadi, drama ini sangat dekat di hati saya kerana saya merupakan penonton setia drama ini sepanjang watak Manav dilakonkan oleh mendiang. Setelah Hiten Tejwani menggantikan beliau untuk melakonkan watak Manav, saya berhenti menonton drama tersebut.
Sehingga ke hari ini, lagu ost drama Pavitra Rishta masih lagi menjadi salah sebuah lagu yang paling saya gemari dan masih berada dalam playlist saya. Berbalik kepada mendiang, usaha keras beliau akhirnya membuahkan hasil apabila dipilih untuk berlakon sebagai salah seorang dari 3 orang teraju utama filem Kai Po Che. Filem ini merupakan filem debut beliau dan merupakan batu loncatan kepada beliau untuk melebarkan sayap serta terbang lebih tinggi dalam industri Bollywood. Beliau antara pelakon yang bermula dari kosong, tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan mana-mana nama besar keluarga dalam industri Bollywood tetapi berjaya menempa nama berbekalkan minat dan bakat yang ada.
Walau bagaimanapun, bakat beliau seringkali dipandang rendah oleh beberapa orang dalam industri kerana berasal dari keluarga biasa dan bukannya dari keluarga kenamaan mahupun dari keluarga dalam industri. Meskipun begitu, beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat. Minat dan pengetahuan yang mendalam tentang bidang fizik dan sains angkasa membuatkan beliau menyertai program keangkasaan anjuran NASA bagi mendalami ilmu angkasa dengan lebih mendalam. Beliau juga memiliki sebidang tanah di bulan dan sebuah teleskop yang sangat canggih. Seorang yang pendiam dan pemalu dan lebih suka menghabiskan masa dengan membaca buku atau merenung angkasa, seringkali menjadi mangsa tohmahan gembar gembur pelbagai gosip tak berasas oleh media dan netizen. Hal itu, pastinya sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap semangat dan keyakinan diri beliau dalam bidang seni.
Dalam kalangan peminat beliau dan pendapat dari orang ramai, mereka menyatakan bahawa Sushant merupakan seorang selebriti yang merendah diri dan berimpian besar. Senarai Bucket List beliau kongsi di laman sosial media telah diviralkan kembali.. Banyak impian mendiang yang masih belum tercapai. Antaranya ialah menanam seribu pokok, mengajar wanita ilmu asas pertahanan diri secara percuma, membantu kanak-kanak yang berminat dan berpotensi dalam bidang sains angkasa menyertai program yang dianjurkan oleh ISRO dan juga NASA, dan pelbagai lagi. Dari senarai impian itu, dapat kita lihat dan nilai keperibadian sebenar Sushant walaupun tidak berkawan rapat dan hanya mengenalinya dari jauh.
Saya masih belum berkesempatan untuk menonton kesemua filem beliau, cuma beberapa filem seperti Kai Po Che , PK , Detektif Byomkesh Bakshy , M.S Dhoni, Kedarnath , dan Chhichhore yang telah ditonton. Antara kesemua filem yang telah ditonton, Kedarnath ialah filem yang paling dekat dihati. Entah berapa kali saya menonton filem ini tanpa rasa bosan. Sejujurnya, meskipun saya bukanlah peminat tegar beliau, saya tetap terasa kehilangan apabila menerima berita kematian beliau. Sukar untuk diterima bahawa seorang Sushant Singh Rajput telah pergi untuk selama-lamanya. Sehingga ke hari ini, hari berganti minggu, saat saya menaip pos ini, hati saya masih bersedih atas pemergiannya. Atas dasar apa saya bersedih,saya sendiri pun tak tahu sebabnya.
Apa yang pasti, saya yang dikenali sebagai seorang hati batu dan paling sukar untuk menangis, pasti menangis dengan mudah setiap kali terlihat sebarang gambar atau video atau terbaca apa-apa sahaja perkara berkenaan Sushant. Pemergiannya memberikan impak yang sangat besar ke atas diri saya. Seringkali scene Sushant menyanyikan lagu Lag Ja Gaale dari filem Kedarnath terbayang-bayang dalam fikiran. Matanya yang berkaca dan suaranya ketika menyanyi jelas terngiang-ngiang di telinga saya. Menonton trailer filem terbarunya Dil Bechara membuatkan hati saya bertambah sedih dan sayu. Terasa seakan Sushant masih hidup. Pada masa yang sama, saya sebagai peminat tegar Salman Khan berasa sangat marah dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Salman atas kematian Sushant. Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang sebarang spekulasi berkenaan kematian mendiang buat masa ini. Cukuplah kalian tahu yang saya yakin dengan sepenuh hati kedua-dua orang kesayangan saya ialah mangsa kepada orang-orang berhati busuk.
Selamanya dalam kenangan,
Sushant Singh Rajput💗
Comments
Post a Comment